Wednesday, July 6, 2011

HATI-HATI BELI KEKILI



Yakinlah dengan kewibawaan senjata pancing anda untuk menikmati keseronokan. Pilihlah dengan bijak supaya tidak akan berlaku sebarang masalah bila memancing nanti.




Seksyen Pendedahan Ilmu & Teknik Memancing
Sumber : MICHAEL FARMER (MODERN FISHING) TACKLE BUYING GUIDES



Bukannya mudah nak cari yang terbaik sewaktu membeli kekili, tetapi ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk mengelakkan diri dari rasa geram tak terhingga. Sudah tak terkira lagi jenama alat pancing baru yang membanjiri pasaran, sampaikan ada sesetengah jenama yang sebelum ini popular, tidak dapat lagi mempertahankan kedudukannya. Sejak beberapa tahun lalu,peralatan memancing semakin murah semenjak negara China, Taiwan dan Thailand bersaing menghasilkan pelbagai joran, kekili dan aksesori. Walaupun ada yang menghasilkan produk bermutu dengan tawaran harga luar biasa, namun kita tetap kena berhati-hati bila hendak membeli.

Sejak beberapa tahun kebelakangan, saya kerap melihat beberapa peralatan yang jahanam walaupun menjunjung jenama terkenal.Saya bukan tuduh syarikat tersebut telah berhenti menghasilkan produk berkualiti, tetapi seakan-akan mula menunjukkan mereka tidak lagi mengambil kisah dengan mutu produknya.Suatu ketika dahulu, ada syarikat yang mendapati ianya lebih murah jika menawarkan jaminan terhad terhadap produknya, berbanding membuat ujian dan kawalan mutu yang sepatutnya sebelum memasarkan produk.

Walau bagaimanapun, kerapkali peralatan yang rosak hanya dilempar ke tepi oleh pengguna atau alat gantinya dibeli, kerana kebanyakan orang malas nak terkejar-kejar menguruskan dokumentasi dan menunggu lama semasa membuat tuntutan jaminan. Justeru, jika anda tidak ingin meraih faedah dari jaminan produk, maka sebab itulah anda perlu membuat pilihan pembelian yang setepatnya. Mungkin anda rasa lebih berbaloi jika membeli kekili murah tetapi ingat, jika bermasalah,adakalanya ia ‘kantol’ di saat-saat genting. Ini pernah berlaku kepada saya semasa membuat ujian lapangan terhadap kekili mendatar (spinning) baru yang tampak sahaja besar dan perkasa.

Setelah ianya diserahkan, saya ingin memancing ikan di tebing berbatu. Pagi itu cukup ceria dan ikan cukup galak, tetapi aduhai... tiba-tiba sahaja anti-balikan kekili baru itu tidak berfungsi! Siapa tak geram bila kepala lutut lebam dihentam pengayuh kekili yang berputar ke belakang dan ikan besar mengambil kesempatan dari tali yang berserabut. Mujurlah saya ada bawa kekili tambahan - tiada masa nak saya perbaiki kekili jahanam itu lagi. Apa pun, tempoh ikan galak telah banyak dibazirkan semasa menukar kekili dan perambut.


0KEKILI MENDATAR (SPINNING REEL)

Memanglah membingungkan jikalau hendak membeli barangan yang betul-betul bagus, bagaimanapun saya akan menyumbang beberapa petua penting yang boleh membantu anda :

1. Keterangan Lisan
Tanyalah pengusaha atau operator kedai pancing tentang jenis kekili yang anda hajati.
Kebanyakan dari mereka tentu biasa turun memancing (memang sepatutnya) dan tahu
perbezaan peralatan yang mereka gunakan. Jika mereka dakwa tiada masalah pada kekili yang sesuai dengan kehendak anda itu, maka belilah model yang sama.

2. Ujian Pemutaran
Semasa meneliti putaran pengayuh, sila tumpu perhatian terhadap sebarang kelonggaran cengkaman antara setiap gear. Pastikan pengayuhnya tegap, mengarau lancar, tidak bergoyang, atau berlaku keketatan dan tersangkut-sangkut. Pengayuh pada sesetengah kekili mempunyai shaf gelincir dan skru kunci bertentangan,tetapi shaf sepatutnya cukup muat tanpa sebarang kelonggaran. Pegang rotor gelendung dari berpusing, kemudian gerakkan pengayuh ke depan dan belakang untukmenyukat kelonggaran antara gear.

3. Ujian Lekap
Sentiasalah bawa magnet kecil bersaiz poket. Dengan melalukan magnet pada semua skru luaran dan komponen, kita boleh mengesan ruang yang berkemungkinan akan karat. Walau bagaimanapun, magnet bukanlah ujian tepat untuk logam tahan karat (stainless steel), kerana ada sebilangan gred logam tahan karat yang magnetik (boleh karat).Krom atau skru tembaga bersalut (yang bukan magnetik) juga kerap digunakan dan tidak akan karat. Ingat, karat dan hakisan adalah musuh anda.

4. Helah Galas Bebola
Fenomena terbaru ialah penyendatan banyak galas bebola. Sebenarnya bilangan galas bebola dalam kekili bukanlah petunjuk kualiti atau ketahanannya. Selalunya galas bebola yang ditempatkan dalam reka bentuk kekili yang kurang baik adalah dari bahan berkualiti rendah dan cenderung terhakis atau terdedah kepada kemasukan butiran pasir, garam dan air. Jika banyak galas bebola sebegini, lagi banyaklah masalah yang bakal timbul. Cuba lihat gambarajah pecahan kekili yang disertakan dalam kotak kekili anda.Ianya patut diteliti dan ditanyakan soalan kepada operator kedai pancing tentang kualiti komponen tersebut, misalnya gear dan galasbebola.

5. Pastikan Ketat
Cuba pegang gelendung dengan sebelah tangan, dan tarik ia ke atas atau tekan ke bawah (jangan memaksa) untuk melihat sama ada wujudnya sebarang pergerakan yang longgar dalam shaf utama (sepatutnya tiada). Banyak kali saya lihat kekili yang baru keluar dari kotak tidak diketatkan shaf utama dengan kemas pada galas pemutarnya. Walaupun ianya boleh diketatkan dengan Cuma separuh putaran pemutar skru, tetapi jika tidak diendahkan, boleh mengakibatkan kekili kehilangan skru yang penting pada komponen dan gear-gear yang berputar.

6. Pemadanan
Jika anda ingin padankan kekili baru dengan sebatang joran lama (atau sebaliknya), bawalah joran anda ke kedai dan cuba pasang kekili itu pada joran. Inilah satu-satunya cara terbaik untuk memadankannya. Kadangkala kaki kekili itu terlalu besar,lebar, runcing atau kecil untuk dimuatkan kemas pada joran. Joran mungkin lebih panjang atau pendek dari yang anda jangka atau tidak sesuai langsung buat kekili yang anda mahu beli (malah koordinasi warna pun tak ngam).

7. Faktor X
Jika anda tidak pernah mendengar jenamanya, itu bukanlah alasan untuk tidak ambil pusing. Seperti yang saya katakan pada awal tadi, terlalu banyak jenama baru cuba menerobos pasaran dan ada barangannya yang cukup bagus dan ada juga yang ‘tak boleh pakai’. Memang sukar untuk mengetahui kebaikan yang ia tawarkan. Jadi, siasatlah betul-betul kekili yang anda ingin beli, bukan sekadar untuk model yang dipamer sahaja.



8. Kilau Tak Semestinya Emas
Ingat, kekili baru yang berkilat bukanlah kekal sedemikian rupa selepas beberapa trip memancing. Pengilang meletakkan plastic berplat logam berlebihan pada kekili supaya ia kelihatan lebih cantik dan anggun, tetapi masalah hakisannya tetap meningkat. Benda benda berkilat pada kekili selalunya memerlukan lebih perhatian (seperti menggilap selepas terdedah pada air masin) supaya tidak rosak dan pudar.

9. Jika Tak Berfungsi Di Kedai, Ia Tidak Berfungsi Di Bot
Aksi lengan pengarau atau ‘bail arm’ kekili hendaklah positif dan tidak gagal bertindak balas semasa anda mengujinya berulang kali di kedai pancing. Roda pemandu tali seharusnya berputar bebas dan anda hendaklah menguji butang anti-balikannya beberapa kali untuk melihat sama ada ia sentiasa berfungsi atau tidak. Jika anda tidak pasti dengan fungsi setiap tombol kecil dan sistem pada kekili, maka tanyalah kepada pekedai. Itulah sebabnya
mereka berada di situ dan janganlah baru nak baca kertas keterangannya sesudah pulang.
Tiada orang anggap anda bodoh jika bertanya apakah fungsi tombol itu, tetapi bukankah
lebih bodoh kalau kekili dibawa kembali hanya semata-mata anda tak tahu bagaimana hendak
menggunakannya?

10. Hakisan, Musuh Anda
Lihat segenap ruang atau celahan (gap), terutama antara badan kekili dan di bawah rotor gelendung. Saya pernah melihat kekili yang mempunyai celahan cukup besar yang
membolehkan pasir memasukinya (Inilah antara sebab mengapa kita tidak digalakkan
membuka komponen kekili untuk memperbaikinya semasa pergi memancing).



11. Nikmatilah Bunyinya
Di bawah gelendung kekili mendatar terdapat palam penggera tegangan. Kliker logam
kecil inilah yang akan melagukan bunyi yang kita semua suka mendengarnya apabila ikan
lari menggila.Komponen ini serta spring di belakangnya hendaklah jenis logam (plastik tidak tahan lama) dan hendaklah diikat dengan skru, bukan klip. Sesetengah pengilang menggunakan
klip dan percayalah pada saya, jika ia tercabut walaupun tidak patah, ia tak akan kembali
pulih seperti sediakala. Lama-kelamaan anda terpaksa ganti spring atau bersihkan belakang
palam, jadi ini hendaklah boleh dicapai dan boleh diganti. Kesimpulannya, ambillah masa untuk memilih.Cuba karau, mainkannya, lihat dengan teliti dan timbulkan persoalan. Ia mungkin
kekili yang hanya berharga RM 100, tetapi ia tetap bernilai juga. Justeru, kenalah tahu apa
yang anda mahu.





KEKILI MENEGAK (OVERHEAD REEL)


Kekili menegak / multiplier / baitcaster lazimnya lebih mahal berbanding kekili mendatar.
Oleh itu, pastikan anda perolehi yang terbaik dari nilai yang dibayar. Kebanyakannya
mengikut perkara yang sama seperti mana memilih kekili mendatar apabila anda ingin membeli kekili menegak atau baitcaster. Tetapi terdapat beberapa perkara tertentu yang perlu diperhalusi.

1. Kurang, Lebih Baik
Plat tapak atau kaki kekili seharusnya sebingkai.Malah lebih baik jika ianya sebahagian
dari bingkai keseluruhan. Titik penyambung merupakan titik terlemah, jadi semakin
kurang komponen individu, semakin kuranglah kelemahannya. Oleh kerana tekanan yang dikenakan terhadap sebarang kekili menegak adalah bergerak ke hadapan sehingga ke hujung joran, maka kekuatan kaki kekili cukup kritikal. Inilah sebab mengapa kekili menegak saiz besar (multiplier) sering didatangi dengan sokongan alat pendakap (ia sepatutnya digunakan, tetapi selalunya pemancing menyimpannya dalam kotak) Petua : pastikan anda mengikat pendakap ini sebelum memasukkan tali dalam gelendung kekili. Saya pernah melihat beberapa kekili menegak murahan yang hujung kakinya boleh dibengkokkan dengan tangan sahaja kerana jenis logam atau penyambung rivetnya terlalu lembut. Ianya juga penting agar kaki kekili tidak terlalu panjang (terutama kekili berbadan grafit).

2. Hati-Hati Dengan Ruang Celahan
Toleransi antara gelendung dan badan kekili seharusnya minimum. Ujian terbaik ialah dengan mengisi tali tangsi ke dalam gelendung dan cuba selitkan ia di celahan antara gelendung dan plat dalaman kekili. Hari ini, diameter tali semakin halus. Jadi, janganlah sampai berlaku tali terselit di celahan tersebut sehingga menyebabkan kes paling buruk... sarang burung (backlash)!

3. Pastikan Ketat
Sepatutnya tiada sebarang gerakan ke dalam atau ke luar pada pengayuh, dan juga tiada gerakan ke belakang atau ke depan apabila sistem tegangan diketatkan. Kekili murah kerap gagal di sini, akibat toleransi yang lemah pada pengunci pengayuh atau logam yang lembut pada shaf pengayuh.

4. Sistem Tegangan / Drag
Senggatan dari drag yang ketat sehinggalah gelendung bebas haruslah beransur ansur dengan larasan minimum setelah tekanan drag berkurangan. Amalan menahan gelendung sambil karau kekili melawan tekanan drag (walaupun semua orang melakukannya) tidak banyak memberitahu kita tentang kelembutan drag. Jika drag terasa sangkut-sangkut semasa melakukannya, lebih baik anda berhenti, nanti tak pasal-pasal ianya jahanam dan anda
terpaksa membayar ganti rugi.Ujian terbaik untuk mengesan kelembutan kekili ialah dengan memuatkan tali dan lakukannya bersama joran. Tetapi ujian ini bergantung kepada kos kekili dan berapa bagusnya servis kedai pancing itu, sama ada mereka sanggup lakukannya untuk anda. Tetapi bagi saya, jika saya sanggup berhabis duit, pastilah saya mahukan yang terbaik dari kekili itu. Apa pun, mintalah kebenaran dari operator kedai pancing itu dahulu.

5. Fikirkan Jangkaan
Alat penyusun tali (level wind) kadangkala menimbulkan masalah dan paling cepat rosak. Pastikan anda boleh mendapat alat gantinya untuk komponen seperti palam dan shaf penyusun tali itu.Komponen ini selalunya cepat haus, apatah lagi kalau dihuni garam dan pasir. Jangan lupa bersihkannya selalu.Untuk mengelakkan masalah ini, saya selalunya sanggup berbelanja lebih untuk membeli alat ganti palam tersebut pada masa yang sama kekili dibeli. Lagipun, kita tak tahu sama ada kita boleh menda-patkan alat gantinya pada masa hadapan (bertambah teruklah jikalau anda tidak dapat menjumpai alat gantinya nanti.)

6. Mahirkan Diri
Sistem kawalan lontaran pada kekili jenis ini biasanya berbeza-beza. Paling asas ialah tekanan dikenakan pada shaf gelendung melalui tombol plat sisi kepada magnetik atau emparan. Tiada siapa terutama orang baru boleh jamin lontaran pertamanya cukup sempurna, tetapi dengan latihan demi latihan, semua orang mampu memahirinya. Namun fakta yang menyedihkan ialah baitcaster yang mahallah paling mudah dikendalikan oleh orang baru. Tetapi jika membeli baitcaster murah, lagi panjanglah tempoh pembelajarannya. Gelendung seharusnya mampu dilaras sampai ke satu tahap yang mana ia dapat berpusing bebas dengan hanya sedikit pulasan jari anda (ada sesetengah kekili seakan mampu berputar selama-lamanya!)Sebelum anda memilih kekili, anda harus tahu : Apakah saiz dan berat gewang yang anda mahu lontarkan? Di mana anda berhajat nak memancing? Sejauh mana jarak yang anda perlukan untuk melontar gewang? Apakah jenis tali (tangsi atau sulam) dan saiz ketahanan yang anda ingin gunakan?
Dengan mengetahui jawapan terhadap soalan-soalan ini, seleksi kekili lebih mudah ditentukan. Cuba timbulkan banyak persoalan, tidak kiralah berapa banyak yang anda rasa tahu jawapannya. Era perubahan dan inovasi peralatan memancing kini sangatlah pantas. Justeru, pilihlah dengan bijaksana.

Ikan berkualiti mampu menguji peralatan anda ke tahap maksimum.
Jika peralatan anda tidak termampu, akan terlepaslah ikan idaman anda.

1 comment:

  1. salam kawan2 kami menjual barang mancing seperti reel,joran,casting dan sebagainya, dan barang2 yang kami jual adalah 100% buatan jepun. kami menjual barang jenama shimano dan daiwa.. tapi blog kami menjual barang2 reel pantai http://reelpantai.blogspot.com jadi jika ingin bertanya mengenai barang mancing selain pantai bolehlah emailkan pada kami tokmat30@gmail.com dan kami boleh dapat kan barang2 mancing yang tiada dimalaysia dan keluaran terbaru yang biasanya ada di jepun. terima kasih

    ReplyDelete